Malaysia Liga Super Malaysia

Pertembungan JDT semakin hampir, skuad Tok Gajah terus dihantui masalah kecederaan

Pasukan Pahang ketika ini berhadapan dengan masalah kecederaan yang serius sehingga menyukarkan Dollah Salleh untuk memilih kesebelasan utama.

Lebih menyulitkan, Matthew Davies mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan beberapa minit sebelum aksi menentang Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Masalah bermula dengan kecederaan jangka panjang Francis Forkey Doe, diikuti dengan Safuwan Baharudin, Patrick Cruz, malah Norshahrul Idlan Talaha turut mengalami kecederaan.

Disebabkan masalah tersebut, Dollah Salleh berada dalam keadaan paling buntu memikirkan pemain-pemainnya yang tidak dapat diturunkan dalam perlawanan akan datang terutamanya menentang JDT dalam aksi suku akhir kedua Piala FA nanti.

“Kami sudah pasti kehilangan Forkey Doe, Safuwan pula saya tidak pasti, 50-50 sama ada boleh bermain atau tidak, begitu juga dengan Davies. Jadi, kami hanya mampu berdoa sahajalah.

“Memang berat untuk berdepan JDT tapi saya tetap menaruh kepercayaan kepada pemain.

“Buat masa ini saya tidak boleh terlalu berharap dengan pemain yang cedera untuk pulih sepenuhnya. Saya akan pastikan pemain yang boleh menggantikan tempat mereka dan menampung kekosongan yang ditinggalkan,” katanya kepada Berita Harian.

Pahang terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Kuala Lumpur pada Ahad lalu yang menyaksikan pasukan Tok Gajah itu ketinggalan empat mata di belakang pendahulu JDT.

Namun bagi aksi Piala FA, peluang buat Pahang dan JDT untuk mara ke separuh akhir adalah seimbang selepas terikat 0-0 pada aksi suku akhir pertama sebelum ini.

Dalam pada itu, Dollah akui Issey Nakajima-Farran berada dalam perancangannya namun perlu menunggu sehingga jendela perpindahan dibuka pada bulan Mei ini.

“Untuk menggantikan Forkey Doe pun kami perlu tunggu hingga jendela perpindahan dibuka. Kami akan cuba dapatkan pemain baharu, Issey Nakajima-Farran yang sedang dalam proses ujian, tapi masih belum pasti untuk ditandatangani.

“Apa yang penting kami perlu fokus bagaimana untuk membentuk pasukan terbaik dengan beberapa pemain yang cedera. Itu sahaja masalah yang kami perlu hadapi sekarang,” katanya.