Malaysia

Ong Kim Swee akan bawa balik ilmu untuk pembangunan pasukan belia

Nampaknya Datuk Ong Kim Swee bukan setakat akan membawa pulang ilmu untuk skuad bawah 23 tahun, tetapi juga untuk pembangunan pasukan belia dan akademi bolasepak negara.

Ketua jurulatih Skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee dan pembantunya Brad Maloney telah berangkat ke Sepanyol untuk menimba ilmu bersama Atletico Madrid dan skuad kebangsaan Sepanyol.

“Sejurus tiba di sana kami akan bersama Atletico Madrid terlebih dulu dan pada pertengahan Mac, kami juga berpeluang untuk melihat sendiri skuad kebangsaan Sepanyol bagi aksi perlawanan antarabangsa,” kata Kim Swee seperti dilaporkan Harian Metro.

Kim Swee turut mengakui bahawa kehadiran Brad akan membantunya sepanjang berada di Sepanyol.

“Kehadiran Brad bersama saya juga bakal memudahkan lagi tugas di sini kerana banyak perkara yang akan dilakukan bagi mencapai objektif FAM dan presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim.”

Pemergian Datuk Ong Kim Swee ke Sepanyol adalah sebagai salah satu rangka persiapan bagi skuad bawah 23 tahun negara menjelang Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Jakarta nanti.