Kelantan United mengumumkan penjenamaan semula nama kelab kepada Kelantan Darul Naim FC atau KDN FC yang akan digunakan mulai musim 2024-2025.
Katanya, MFL dan First Instant Body (FIB) meluluskan penjenamaan semula kelab dan pasukan itu bagi musim ini.
“Penjenamaan semula nama dan logo kelab adalah disebabkan keinginan pihak pengurusan untuk menyatu padukan semula para penyokong dan pendukung bola sepak Kelantan dibawah satu panji serta bendera kebanggaan, Kelantan Darul Naim,” kata kenyataan rasmi Kelantan United.
“Misi serta visi pihak pengurusan sangat jelas bahawa perubahan nama dan logo ini bukan untuk mengantikan pasukan utama namun satu perubahan yang dibuat demi melihat sebuah kelab yang berdaya saing beraksi di hirarki tertinggi Liga Malaysia bersama kelab utama yang lain dengan entiti yang lebih dominan serta memiliki satu pengaruh yang bersifat menyeluruh.”
“Presiden dan pihak pengurusan tertinggi juga merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga buat semua peminat dan penyokong bola sepak Kelantan kerana curahan idea serta pendapat mereka pada awalnya adalah antara faktor utama penjenamaan semula kami kepada nama Kelantan Darul Naim FC.
“Dengan nama serta logo yang baharu, besar harapan kami untuk melihat semua pihak di Kelantan dapat bersatu padu demi menyaksikan sebuah kelab bola sepak dari negeri Cik Siti Wan Kembang memberi saingan dan mencabar hebat kelab-kelab yang lain dalam saingan Liga Malaysia pada tahun ini.”
Kelantan United kini menjadi satu-satunya pasukan mewakili Kelantan selepas Kelantan FC tidak layak beraksi dalam Liga Super musim depan kerana gagal meraih lesen kebangsaan.