FAM tidak dapat melantik pengadil dalam kalangan 6 pengadil FIFA bagi mengendalikan Final Piala Malaysia 2023 antara JDT dan Terengganu disebabkan beberapa faktor dan kekangan.
Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor, sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.
Baki dua lagi pengadil FIFA, Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil.
“Berdasarkan situasi tersebut, pemilihan S. Logeswaran dari Selangor telah dilakukan dengan rapi,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
“Ia mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali.
“Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A.”
Katanya, FAM menganggap beberapa keputusan pada aksi final tersebut adalah tepat selepas penelitian rakaman video dilakukan.
“Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama JDT pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu ke atas pemain JDT dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.
“Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu pada minit ke-21, kesalahan pemain JDT terhadap pemain Terengganu telah jelas dilihat dan dibantu oleh pembantu pengadil, sekali gus keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada pembantu pengadil dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain Terengganu.
Katanya, FAM tidak pernah menerima apa-apa maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut dan apa yang tular di media sosial itu adalah berita atau kenyataan palsu.