Selangor terus kekal mendapat peruntukan RM10 juta dari kerajaan negeri untuk digunakan bagi musim 2024, melalui Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dana tersebut digunakan untuk menguruskan pasukan dari peringkat belia hingga ke pasukan utama.
“Saya gembira dengan pengumuman Belanjawan 2024 di peringkat negeri apabila kita diberikan dana RM10 juta sekali lagi seperti yang diterima setiap musim,” kata CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.
“Jumlah itu cukup penting kerana ia memberikan suntikan buat pihak pengurusan bagi mengatur pasukan di peringkat belia bermula pasukan B-18, B-20 dan B-23 selain skuad wanita dan pasukan utama.
“Selain itu, kita juga akan membantu program pembangunan akar umbi di peringkat sekolah dengan dana yang bakal diberikan nanti.”
Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM10 juta bagi Selangor FC dalam misi Liga Super dan Piala Malaysia musim depan
Amirudin berkata, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk mengembalikan kegemilangan pasukan Merah Kuning dalam sukan bola sepak dan arena sukan tanah air.