Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor menafikan pasukannya berdepan dengan kemerosotan prestasi kerana masalah gaji.
Ini selepas Kedah gagal ke final Piala AFC Zon ASEAN, gagal pertahankan Piala FA apabila tersingkir awal dan menduduki tangga ke-8 Liga Super setelah mencatatkan 5 kemenangan, 2 seri dan 6 kekalahan dalam 13 perlawanan.
“Dalam perlawanan separuh akhir Zon Asia Piala AFC 2022 di mana Kedah tewas di tangan PSM Makassar di Bali, baru-baru ini, saya sempat menemui dan bertanyakan pengurusan pasukan itu mengenai gaji pemain dan jurulatihnya,” kata Sanusi kepada Berita Harian.
“Mereka menggunakan jurulatih dari Portugal dan membayar gaji sekitar AS$10,000. Kita bayar double berbanding mereka untuk jurulatih kita.
“Pemain import mereka pula paling tinggi dibayar kira-kira AS$15,000. Kita paling tinggi lebih daripada itu.
“Jadi saya tak fikir masalah pendapatan atau pun bayaran pemain dan jurulatih menjadi punca kepada kemerosotan prestasi pasukan tetapi mungkin dari segi teknik dan strategi atau benda-benda baharu yang perlu dihasilkan.”
Sanusi bagaimanapun mengakui kecewa dengan prestasi Kedah ketika ini.
“Saya dengar rintihan daripada penyokong, peminat yang agak kecewa, saya sendiri pun rasa begitu, tapi seboleh-bolehnya kita berilah peluang kepada pasukan untuk memperbaiki diri hasil daripada tindakan yang telah dilakukan Kedah.”
Namun, ketika ditanya mengenai status Aidil Sharin Sahak, Sanusi berkata beliau hanya pemegang dan tidak terlibat dengan pelantikan jurulatih tetapi berharap pihak pengurusan pasukan Kedah mengambil perhatian terhadap prestasinya.
“(Kedudukan jurulatih) sedang diperbincangkan. Oleh kerana kita dah swastakan, cuma kita pegang saham saja, sebagai pemegang saham kita pun berasa gusar juga dan suara kita pun perlu diberi perhatian, dan ada juga kita juga beri sumbangan-sumbangan untuk bayaran macam-macam.
“Ini kerana pasukan selain daripada pasukan negeri selatan (JDT), saya fikir semua pasukan negeri lain masih kepada sumbangan persatuan bola sepak negeri masing-masing dan juga kerajaan negeri, semua bukan Kedah saja.”