Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon menyasarkan 7 mata untuk pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.
Ini selepas Malaysia diundi bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh dalam Kumpulan E.
“Ini adalah perjalanan yang sukar,” kata Pan-gon kepada Berita Harian.
“Tetapi kita di sini untuk menghadapi situasi seperti ini.
“Bahrain adalah pasukan yang lebih kuat. Jadi kita akan memberi cabaran untuk mendapatkan satu mata.
“Bagi aksi menentang Turkmenistan pula, ini adalah perlawanan paling penting dan kita perlu berusaha untuk mendapatkan tiga mata.
“Tiada sebab untuk kita tidak mendapat tiga mata menentang Bangladesh dan sasaran kita untuk mendapatkan tujuh mata.
Kami akan cuba yang terbaik dan mara ke pusingan akhir untuk membanggakan penyokong Malaysia.”
Pan-gon juga menyifatkan Malaysia mempunyai peluang yang cerah untuk layak ke Piala Asia kerana kelebihan bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Teruskan memberi sokongan kepada kami dan sebagai tuan rumah, kita ada kelebihan yang besar. Kita akan gunakan kelebihan ini sebaik mungkin.”
Skuad Harimau Malaya bakal berdepan perlawanan pembukaan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun.