B Sathiananthan tampil mempersoalkan sama ada NFDP benar-benar menyumbang kepada pembangunan bola sepak Malaysia.
Ketika bercakap dengan Haresh Deol dalam rancangan Rembat bersama Graig Nunis di Football Tribe, beliau membuat kajian mengenai perkembangan NFDP dan mendapati masih tidak ramai pemain dari program tersebut yang beraksi dengan pasukan kebangsaan mahupun Liga Malaysia.
“NFDP dibentuk pada tahun 2014, jadi jika kita mengambil kira pemain pada masa itu berusia 13 tahun, sekarang 2021, mereka semestinya sudah berumur 20 atau 21 tahun ketika ini.
“Tetapi kita tidak melihat banyak pemain berusia 19, 20 atau 21 tahun tidak seperti Sepanyol atau Itali, bermain dengan pasukan kebangsaan.
“Jika mereka menghasilkan pemain yang bagus dalam setiap 4 atau 5 tahun, kita sepatutnya mempunyai banyak pemain muda yang berbakat bermain untuk pasukan kebangsaan.”
Ketika ditanya mengenai prestasi semasa skuad Harimau Malaya, beliau berkata prestasi tersebut adalah gambaran kualiti daripada Liga Malaysia.
“Cuba beritahu saya, berapa banyak pemain NFDP berbakat yang bermain di Liga Super? Kalau Selangor, ada 4 hingga 5 pemain yang selalu bermain, mereka bukan dari NFDP.
“Saya sudah mengkaji dan mendapati semua pemain Selangor yang berasal dari program NFDP hanya bermain di Piala Presiden Selangor dan pasukan Piala Belia Selangor.”
Sathia sebaliknya memberikan contoh bahawa program akar umbi peringkat negeri mampu menghasilkan pemain terbaik.
“Khalid Jamlus adalah penjaring terbanyak di Perak setelah bermain dengan pasukan Piala Dunia Remaja, sama juga dengan Saravanan, Akmal Rizal dengan Kedah serta Indra Putra yang baru berusia 21 tahun ketika itu.
“Kita mesti melihat kepada program akar umbi kita, pemain seperti Indra Putra, Hairuddin, Nizaruddin, pemain ini lahir dari akar umbi di peringkat negeri, mewakili negeri, mereka berlatih di akademi negeri, tidak seperti di Gambang apabila main dalam satu pasukan yang sama, program akar umbi menghasilkan lebih ramai pemain daripada program di Gambang.
“Apabila kita membuat kesilapan, kita harus mencari apa yang salah, kita harus menyiasat dan mengimbanginya dengan fakta.”
Haresh kemudian menjelaskan kepada Sathia bahawa NFDP wujud kerana tidak ada program pembangunan yang kukuh di peringkat negeri.
“Tahun 1996 dan 1997, masa itu setiap negeri ada akademi tunas cemerlang, setelah kerajaan negeri menghentikan dana, masa itu kita dapat idea untuk mempunyai sebuah pusat latihan yang lebih baik untuk para pemain, yang disebut sebagai pusat latihan elit.
“NFDP beroperasi dengan pihak berkuasa sekolah seperti MSSM bukan FA negeri, sebab kerajaan negeri perlu menghabiskan banyak wang untuk membiayainya.
“Berbanding dengan Jepun, di sini dana hanya dibelanjakan untuk pasukan utama dan pasukan kedua, jadi apabila tidak ada wang, siapa yang akan lahirkan pemain, jadi kita melalui MSN dan bukan FA negeri.”
Namun, Sathia berkata, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki jika mahu melihat bola sepak negara benar-benar maju ke hadapan.
“Cara latihan perlu berubah. Tahun 2018 ketika kita gagal layak ke Piala Dunia B17, setelah menghabiskan banyak wang, pasukan itu berada di tangga tercorot, jadi ia tidak berakhir dengan baik untuk kita, kita mengalahkan Tajikistan, tapi mereka layak ke Piala Dunia, tapi sekumpulan pemain kita masa itu sepatutnya sudah bermain dengan pasukan kebangsaan.
“Kita mesti melakukan bedah siasat, sama ada latihan masa itu cukup bagus untuk beraksi dengan pasukan kebangsaan.
“Tidak ada seorang pun yang mempersoalkan apa yang berlaku sebenarnya bila kita gagal layak ke Piala Dunia, sedangkan mereka menghabiskan wang yang banyak, mereka pergi ke Eropah untuk bermain begitu banyak kejohanan, apa yang telah berlaku?”
Justeru, adakah program pembangunan akar umbi perlu diperkasakan?
“Jika mendapat dana yang mencukupi,” kata Sathia.
“Kita tidak boleh menyalahkan FA negeri, kerana mereka tidak mempunyai dana untuk menjalankan program pembangunan, kita memerlukan dana yang banyak, sekarang ini tidak seperti zaman di mana majoriti bermain bola sepak, sekarang tidak seperti dulu.
“Sekarang pembangunan mesti teratur, Ini bermakna banyak dana yang diperlukan, kita bukan Afrika, kita negara maju seperti Jepun dan Jerman, tetapi mereka mempunyai struktur kelab yang bagus.
“Tetapi siapa yang membiayai program itu adalah sangat penting.”
Bagaimanapun, ketika ditanya pihak yang perlu menyalurkan dana program akar umbi, Sathia dengan mudah menjawab: kerajaan.
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk pembangunan bola sepak.
“Merekalah yang perlu memastikan pembangunan sukan terus hidup di negara ini, kalau bagi duit, jangan hanya bagi begitu sahaja, kena ada tindakan susulan, buat keputusan, pastikan ada hasilnya, itu yang paling penting.
“Saya tahu saya telah dikritik oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan terhadap NFDP dan akademi Gambang, tetapi saya hanya bercakap jujur, tolonglah tengok statistik.”