Liga Premier Malaysia Berita

Jangan bubar, benarkan Perak II beraksi di Liga M3 – Pengurus Perak

Pengurus Pasukan Perak, Mohd Rashidi Abdul Rahim meminta pihak pengurusan supaya tidak terburu-buru untuk membuat keputusan membubarkan Perak II.

Sebaliknya, beliau berharap pasukan simpanan kepada Perak itu diberi peluang bertanding dalam saingan Liga M3 pada musim depan.

Ini kerana, beliau berpendapat Perak II dapat mengurangkan perbelanjaan pasukan berbanding sebelum ini, malah mampu menjadi platform pendedahan kepada pemain muda.

“Kita gilap lagi bakat sedia ada,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

“Cari lagi muka baharu yang bagus untuk dibawa ke dalam pasukan, dedahkan mereka dalam Liga M3, saya yakin ia akan membuahkan hasil.”

Justeru, beliau menganggap tidak wajar untuk membubarkan Perak II begitu sahaja.

“Kita sedia maklum, pasukan utama turut menggunakan khidmat pemain dari Perak FC II,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

“Malah ada yang sudah melebihi umur untuk diserap ke pasukan Piala Presiden atau Belia.

“Tolonglah fikirkan mereka yang baru sahaja ceburi bidang ini, ia akan bunuh karier dan semangat mereka secara tidak langsung jika kita tutup feeder club ini.”

Beliau mengulas kenyataan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohamad Yadzan Mohamad berhubung hasrat pihak pengurusan untuk membubarkan Perak FC II selepas Perak FC tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Keputusan itu dibuat bagi memberi fokus untuk kembali ke pentas Liga Super dalam tempoh dua tahun.