Jurulatih Portugal, Fernando Santos mengakui para pemainnya menangis di bilik persalinan setelah tewas 1-0 kepada Belgium malam tadi, menyebabkan juara bertahan itu tersingkir dari Euro 2020.
Portugis mencipta 24 percubaan ke gawang gol berbanding dengan enam percubaan oleh Belgium, namun mempunyai satu percubaan tepat, sepakan roket jarak jauh Thorgan Hazard pada minit ke-42 yang akhirnya menjadi penentu perlawanan, merobek hati pemain Portugal.
“Bola tidak mahu masuk,” kata Santos. “Kami merasa sangat kecewa dan sedih. Pemain menangis di bilik persalinan, seperti kebanyakan peminat Portugal.”
“Para pemain memberikan semua yang harus mereka berikan, bekerja keras. Tetapi inilah bola sepak. Mereka (Belgium) membuat enam percubaan, dengan satu percubaan tepat dan menjaringkan satu gol, kami mempunyai 24 percubaan dan ada yang terkena tiang.”
Portugal bermula dengan cemerlang namun Diogo Jota mensia-siakan peluang pada minit ke-6, apabila rembatannya tersasar. Dia juga terlepas satu lagi percubaan ketika separuh masa kedua, melakukan rembatan yang sekadar melewati atas palang dari jarak dekat, sementara kapten Cristiano Ronaldo hampir-hampir menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.
Portugal menyerang habis-habisan pada 10 minit terakhir dengan tandukan Ruben Dias sebelum Raphael Guerreiro menggegarkan tiang gol dengan rembatan dari tepi kotak penalti pada minit ke-83.
Namun, tiada satu pun yang menembusi gawang gol Belgium, dengan keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.
“Kami semua menginginkannya. Kami percaya dan yakin pada kemampuan kami,” kata Santos. “Kami tahu bahawa jika kami menang, kami akan menang kejohanan. Kami yakin bahawa kami dapat mara ke final dan menang.”
“Dalam bola sepak tidak ada keadilan dan ketidakadilan, ada yang berjaya menjaringkan gol dan ada yang tidak dapat menjaringkan gol. Kami dibolosi gol dan tidak dapat menjaringkan gol.”
“Pemain saya melakukan segalanya untuk memberi kegembiraan kepada rakyat Portugal, kami tidak menang, tetapi kami layak menang.”