Luqman Hakim Shamsudin mengakui perubahan fizikalnya menjadi tumpuan para peminat tempatan baru-baru ini.
Perubahan itu berlaku disebabkan beliau perlu bersaing dengan pemain-pemain yang mempunyai bentuk fizikal lebih besar di Eropah.
“Bagi saya, perubahan fizikal ini memberikan kebaikan buat diri saya sendiri,” katanya kepada Astro Arena.
“Di sana (Belgium), badan mereka semua besar-besar, jadi ia bagus untuk kekuatan diri saya.
“Jika, terlalu kurus, lebih mudah untuk saya dilanggar.
“Di sana, pemakanan saya dijaga kerana sarapan dan makan tengah hari disediakan oleh kelab saya. Makan malam sahaja sendiri.”
Bagaimanapun, Luqman mengakui masih belum berpuas hati dengan perubahan tersebut dan sedang berusaha untuk memantapkan lagi ketahanan fizikalnya.
“Saya masih ingin tingkatkan lagi jisim dan ketahanan otot, sebab sekarang di sana (Eropah) saya masih pemain paling halus dalam kalangan mereka.”
Pada masa sama, Luqman mengakui beliau masih lagi merupakan pemain junior dalam skuad kebangsaan, namun yakin dapat bersaing dengan rakan sepasukan yang lebih berpengalaman.
“Bagi saya, saya dengan pemain lain semuanya sama sahaja sebab mereka semua ada pengalaman tersendiri, jadi tiada apa beza.
“Untuk saya sendiri, saya meletakkan diri saya sebagai pemain muda. Ia bagi meningkatkan keyakinan saya untuk bermain di peringkat tertinggi bersama skuad kebangsaan.
“Saya rasa beruntung kerana sebelum ini saya berlatih dengan pasukan utama KV Kortrijk, jadi saya dapat menyesuaikan diri dengan pemain yang lebih tua.
“Bagi saya mudah, saya hanya perlu bagi 100 peratus dalam latihan. Kalau kita boleh bermain dan menyesuaikan diri dengan corak permainan, tidak kisah umur 19 tahun pun, Insya-Allah boleh memberikan sumbangan, tetapi keputusan itu terpulang kepada jurulatih.
“Faktor umur tidak menghalang seseorang pemain untuk bermain bersama skuad senior, hanya kematangan dalam permainan dan latihan akan jadi penentu.”
Luqman Hakim akan bersaing bersama empat penyerang lain iaitu pemain naturalisasi terbaharu negara Guilherme de Paula (Perak), Syafiq Ahmad (Johor Darul Ta’zim), Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor) dan Norshahrul Idlan Talaha (Sarawak United).