B. Sathianathan telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United dan akan memulakan tugasnya secara rasmi pada Januari 2021.
Ini merupakan kali pertama beliau mengisi jawatan selain ketua jurulatih dalam pengurusan pasukan, selepas dipecat oleh Selangor pada musim lalu.
Sathia berkata, beliau bersetuju menyertai Sarawak United selepas tertarik dengan perancangan presiden pasukan, Datuk Posa Majais, yang mahu pasukan itu layak ke saingan Liga Super 2022.
Beliau juga tertarik dengan program memperkasakan pembangunan pemain-pemain muda dalam pasukan berkenaan, termasuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia.
“Saya tertarik dengan projek yang mereka rancang,” katanya kepada Bernama.
“Ia menepati perancangan yang saya mahukan, selain pihak penaja yang berminat menjadi rakan kongsi dengan Sarawak United.
“Perancangan mereka nak melihat Sarawak kembali ke era kegemilangan pada 1990-an di mana pasukan berkenaan telah meraih pelbagai kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia.”
Sathia juga mengesahkan beliau telah diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk memperkasakan program pembangunan pasukan, manakala tugas mengendalikan skuad senior akan terus digalas oleh ketua jurulatih, E.Elavarasan.
Bagaimanapun, Sathia mengakui beliau berdepan cabaran dari segi penyediaan fasiliti terbaik untuk program pembangunan bola sepak di negeri, selain mengumpulkan kembali anak jati Sarawak untuk kembali berbakti dengan pasukan pada masa akan datang.
“Kita bukan sahaja perlu melihat daripada prestasi permainan, tetapi juga logistik yang memainkan peranan penting seperti padang selain kemudahan-kemudahan bola sepak yang lain.
“Saya belum pergi ke Sarawak lagi, namun banyak berhubung wakil-wakil di sana selain kawan saya yang berasal dari Sarawak bagi membantu saya mengenal pasti kemudahan-kemudahan yang perlu diperbaiki untuk memudahkan barisan kejurulatihan melatih skuad masing-masing.”