Liga Super Malaysia Berita

Selepas bayaran gaji, Melaka berjaya lengkapkan proses penswastaan kelab

Persatuan Bolasepak Melaka United telah melengkapkan proses penswastaan kelab dua minggu sebelum tarikh akhir pada 30 Sept.

Ini selepas pengurusan pasukan itu dilaporkan telah melunaskan segala tunggakan gaji pemain bagi musim ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas menerima kunjungan hormat daripada Presiden Melaka United, Datuk Sulaiman Md Ali.

“FAM berbesar hati menerima kunjungan hormat Datuk Sulaiman dan delegasi MUSA yang menggambarkan komitmen mereka untuk mendalami dasar-dasar serta usaha-usaha yang FAM lakukan,” katanya dalam kenyataan.

“FAM juga diberi taklimat mengenai kedudukan kewangan MUSA yang tetap komited dalam memenuhi semua kriteria dan syarat-syarat yang terkandung dalam pelesenan kelab FAM.

“Dengan usaha dan komitmen ini jelas membuktikan keprihatinan dan kesungguhan beliau dalam memimpin MUSA.”

FAM dan persatuan Melaka bertukar pandangan serta berkongsi maklumat terkini mengenai proses penswastaan dari persatuan (FA) ke kelab (FC) serta syarat-syarat pelesenan kelab, status kewangan MUSA, peta hala tuju FAM serta visi dan misi MFL.

Dalam kenyataan itu juga, Sulaiman berjanji sentiasa memastikan MUSA mematuhi peraturan bola sepak FAM dan MFL dalam usaha menaikkan lagi mutu serta prestasi pasukan.