Azmeer Yusof mengumumkan pengunduran secara rasmi dari pasukan Kedah musim ini.
Pengumuman tersebut mengesahkan spekulasi sebelum ini apabila dilaporkan ada pemain Kedah yang merancang untuk meninggalkan pasukan Liga Super itu sebelum saingan Liga Malaysia dibenarkan bersambung semula.
Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu mengumumkan perkara tersebut di akaun Facebook miliknya, dan memberitahu sebab beliau berbuat demikian.
“Keputusan ini bukanlah kerana masalah gaji, tetapi kerana saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan saya.
“Saya doakan yang terbaik buat pasukan Kedah FA. Semoga terus mencipta kejayaan-kejayaan di masa akan datang.
“Ampun maaf dipinta kepada semua pihak seandainya kehadiran saya ke bumi Jelapang Padi tidak dialu-alukan. Sesungguhnya yang baik datang dari Allah Taala, yang buruk datang dari diri saya sendiri.
“Kepada semua penyokong bolasepak Kedah FA, teruskan memberi sokongan kepada pasukan Kedah. Tanpa kalian, bolasepak tiada erti.
“Maafkan saya, saya akan sentiasa rindukan sorakan kalian.”
Azmeer juga enggan digelar sebagai legenda Kedah.
“Kepada penyokong bolasepak Kedah, saya bukan bekas pemain Kedah dan saya bukan legenda anda. Tapi saya adalah sahabat kalian. Doakan segala urusan saya untuk bina Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Alor Setar tercapai dengan izin Allah.”
Ia satu kehilangan buat pasukan Kedah, memandangkan Azmeer baru sahaja menyertai Kedah pada musim lepas.
Azmeer memulakan karier profesional pada 2008 bersama Kuala Lumpur sebelum menyertai beberapa pasukan lain namun tidak pernah memenangi sebarang piala.
Namun, nasibnya berubah ketika menyertai Kedah apabila berjaya memenangi piala pertama dalam kariernya dengan membantu Kedah menjulang Piala Malaysia pada 2016.
Ketika menyertai KL pada 2017, Azmeer berjaya membantu pasukannya memenangi Liga Perdana sekaligus kembali ke Liga Super.
Azmeer kemudian kembali ke Kedah pada musim 2019 dan berjaya membantu pasukannya menjuarai Piala FA, menewaskan Perak dalam perlawanan akhir.
Namun beliau sekali lagi membuat keputusan untuk meninggalkan Kedah, menjadi pemain pertama Liga Super yang meninggalkan pasukannya musim ini, ketika Liga Malaysia masih belum dibenarkan bersambung.