Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mauricio telah dinobat sebagai gol terbaik mingguan Allianz pada AFC Champions League 2020.
Pemain berusia 31 tahun itu menerima undian tertinggi, 93 peratus daripada 7,422 peminat yang mengundi dalam laman web AFC iaitu https://www.the-afc.com/competitions/afc-champions-league/sponsor/goaloftheweek/.
Mauricio menanduk masuk bola hasil hantaran Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-73 untuk memberi JDT kemenangan 2-1 ke atas pasukan Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings dalam kumpulan D di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor pada 3 Mac.
Dua pemain Australia, Terry Antonis dari Suwon Samsung Bluewings dan Trent Buhagiar dari Sydney FC, masing-masing di tempat kedua dan ketiga selepas menerima lima peratus dan dua peratus undian.
JDT kini berada di tempat kedua dengan tiga mata, manakala Vissel Kobe dari Jepun menduduki tangga teratas dengan enam mata selepas dua perlawanan.