Liga Super Malaysia Berita

Selangor: Sathia sasar seri sahaja menentang Pahang

Walaupun Pahang kehilangan beberapa pemain utama serta kaptennya Matthew Davies, jurulatih Selangor B. Sathiananthan enggan memandang rendah keupayaan pasukan lawan menjelang perlawanan pembukaan Liga Super pada Sabtu ini.

Malah, Sathianathan meletakkan sasaran keputusan seri sahaja apabila berkunjung ke Kuantan nanti.

“Dalam dunia bola sepak di Malaysia, tiada rahsia,” katanya kepada Astro Arena.

“80 peratus kekuatan Pahang masih ada dan mereka memang kuat.”

Selangor juga akan bertemu Sarawak United pada pusingan kedua Piala FA, sekaligus mempertemukan semula Sathia dan bekas pemainnya Amri Yahyah.

Namun, Sathia enggan meneruskan perang mulut dengan pemain veteran itu.

“Saya tidak fikir soal lain.

“Pemain yang mencabar saya tetapi saya tidak bercampur dengan pemain. Saya seorang jurulatih.

“Seseorang pemain profesional perlu bermain dengan baik, jangan disebabkan dendam baru nak beraksi dengan baik.”