Jurulatih Selangor, B Sathianathan mendedahkan bahawa kualiti permainan Safawi Rasid sudah setaraf dengan pemain import di Liga Malaysia.
Katanya, Safawi dilihat sesuai untuk meningkatkan lagi tahap permainannya di Bundesliga Jerman dan Eredivisie di Belanda.
“Safawi boleh bermain di Jerman dan Belanda,” katanya kepada Arena Metro.
“Dia ada teknik kawalan bola yang cukup pantas serta amat agresif ketika memberi tekanan kepada pertahanan lawan.
“Ini kelebihan yang saya lihat amat sesuai untuk Safawi melebarkan sayapnya ke Eropah. Kalau boleh biar bermula dengan liga dari dua negara ini dulu, sebelum memikirkan Premier League, La Liga dan lain-lain.
Walaubagaimanapun, Sathia menganggap hanya Safawi yang boleh menentukan masa depannya dan tidak salah untuk beliau terus kekal di JDT.
“Dia muda lagi dan jika ada tawaran dia boleh fikirkan. Bagaimanapun, jika dia pilih untuk kekal di JDT sekalipun ia juga pilihan terbaik.
“JDT sebuah pasukan yang bagus kerana mereka sudah beraksi di tahap tertinggi iaitu di AFC Champions League. Ia pendedahan cukup tinggi buatnya.
“Tapi mungkin dia nak cuba mengubah angin dan cabaran baharu saya rasa tidak ada salahnya. Apapun terpulang kepadanya untuk tentukan masa depannya.”