Liga Super Malaysia Berita

MFL: Liga lambat sebab tunggakan gaji pemain, bukan salah stadium JDT

Pemangku CEO MFL, Datuk Ghani Hassan menegaskan bahawa saingan liga Malaysia terpaksa bermula pada 28 Februari adalah disebabkan pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) bagi menangani isu tunggakan gaji yang dihadapi pemain sebelum memulakan saingan liga.

Justeru, beliau berkata ia tidak ada kena mengena dengan perasmian stadium baharu milik JDT, Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

“Bukan sebab stadium, masalahnya adalah ECP. Bila ada pasukan yang menghadapi masalah gaji pemain, ECP perlu dilaksanakan. Rakan-rakan liga di luar negara pun bersetuju dengan langkah MFL.

“Tapi kita tak boleh anggap 2020 akan selesai masalah gaji. Kita perlu mengawal dan mendisiplinkan pasukan agar dapat mengikut bajet yang ditetapkan oleh ECP.

“Jadi seperti PDRM yang dipotong mata oleh FAM akibat kegagalan menyelesaikan tunggakan, kita ambil maklum dan mereka akan turun dalam perlawanan pembuka dengan negatif tiga.”

Pelaksanaan ECP memberikan impak besar apabila semua pasukan harus mengemukakan perbelanjaan dan bajet sebelum dibenarkan beraksi untuk saingan liga.

Tiga pasukan Melaka United, Kelantan dan PDRM berdepan pemotongan mata namun Melaka dan Kelantan berjaya melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh yang ditetapkan, manakala PDRM masih gagal menyelesaikan hutangnya dengan pemain.