Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mendedahkan bagaimana pasukannya akan dibarisi pemain berpengalaman dan tidak lagi hanya menyenaraikan pemain muda.
Antara pemain tersebut adalah Nazrin Nawi, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Farisham Ismail serta empat pemain import.
Ketika ini penyerang Nigeria, Odili Felix Chidi, Ghanefo Ansumana Agogo Kromah (Liberia), pemain tengah Bektur Talgat Uulu (Kyrgyzstan) dan pertahanan Eze Kingley Obomneme (Nigeria) sedang diuji.
“Musim lepas, kita menggunakan 100 peratus khidmat pemain muda dan pada musim ini, saya merancang untuk menyeimbangkannya dengan pemain berpengalaman agar mereka dapat membimbing pemain muda ketika beraksi di atas padang,” katanya kepada Bernama.
Senarai lengkap hanya akan diketahui pada 17 Januari depan memandangkan prestasi pemain masih lagi sedang diuji menerusi beberapa perlawanan persahabatan.
“Saya tidak boleh menunggu masa yang lama kerana banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam tempoh persiapan yang hanya tinggal tujuh minggu sebelum sepak mula pada Februari depan.
“Dalam tempoh persiapan ini saya akan bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang berkualiti terutama di barisan hadapan yang sering menimbulkan kegusaran kepada pengurusan pasukan.
Pada masa yang sama, Yusri mengharapkan pemain sedia ada dapat perbaiki kelemahan sebelum liga bermula.
“Kelemahan yang jelas perlu diperbaiki oleh rata-rata pemain ialah aspek komunikasi, kawalan bola dan kematangan pemain kerana ia membawa hala tuju pasukan pada setiap perlawanan yang dihadapi kelak.
“Begitu juga dengan harapan kepada penyokong, sebolehnya kami mengharapkan mereka tidak terlalu bersikap ‘takir’ (menghentam) pemain, seharusnya berilah peluang kepada pemain kerana jika bersikap menghentam pemain saya rasa ia akan menurunkan lagi prestasi mereka.”
Dalam pada itu, Team Red Warriors Sdn Bhd bersetuju untuk melunaskan tunggakan gaji bekas kapten pasukan Kelantan Mohd Badhri Mohd Radzi secara ansuran.
Pengarah Urusannya Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pemain itu di Kota Bharu.
“Bayaran secara ansuran itu membuktikan komitmen pihak kami dalam melunaskan semua tunggakan hutang lapuk yang menyebabkan imej KAFA terus terjejas.
“Sebagai permulaan, kami lunaskan sebahagian bayaran tunggakan gaji bekas kapten The Red Warrrios menggunakan wang hasil jualan tiket,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Badhri dilaporkan mempunyai tunggakan gaji yang berjumlah lebih RM250, 000.
Selain Mohd Badhri, Team Red Warriors Sdn Bhd juga akan melangsaikan sebahagian tunggakan hutang lapuk membabitkan Khairul Fahmi Che Mat.
“Khairul Fahmi juga bersetuju dengan pelan pembayaran yang telah dikemukakan oleh Team Red Warriors Sdn Bhd dengan menggunakan sepenuhnya hasil keuntungan jualan tiket aksi pra-musim Kelantan menentang Kedah bagi melangsaikan sebahagian daripada hutang melibatkan bekas kedua-dua tonggak itu.”