Malaysia Berita

Hadi Fayyadh kekal setahun lagi di Fagiano Okayama

Status Hadi Fayyadh akhirnya terjawab apabila beliau melanjutkan kontraknya bersama kelab J2, Fagiano Okayama bagi tempoh setahun.

Menerusi satu kenyataan, Fagiano Okayama menjelaskan keputusan itu dibuat selepas melihat potensi yang dimiliki Hadi sebagai penyerang dan komitmen ditunjukkan sepanjang bersama pasukan.

“Kami percaya dengan memberikan peluang kepada Hadi, dia akan dapat meningkatkan kemahirannya sekali gus membantu pasukan ini ini untuk terus memberikan aksi terbaik di dalam kejohanan liga pada musim akan datang,” kata kenyataan tersebut.

Hadi melalui tahun yang sukar di Okayama apabila gagal mendapatkan kesebelasan utama serta bergelut dengan kecederaan.

Namun pemain berusia 19 tahun itu menerima keadaannya dengan positif, malah menjadikan pemain Thailand, Theerathon Bunmathan dan Chanathip Songkrasin sebagai inspirasi.

“Tahun pertama saya bersama Fagiano adalah tahun untuk belajar apatah lagi saya turut berdepan kecederaan selama dua bulan. Saya akan terus meningkatkan usaha untuk tahun kedua ini.

“Pemain Thailand juga agak bergelut pada tahun pertama mereka dan saya harap tahun kedua ini akan menjadi lebih baik untuk saya tetapi saya tahu saya perlu bekerja lebih keras untuk merebut tempat.

“Mereka ini sememangnya menjadi contoh terbaik buat saya dan saya bercita-cita untuk menjadi seperti mereka,” katanya kepada Arena Metro.

Walaupun tidak berjaya tampil dalam kesebelasan utama, Hadi menjaringkan tiga gol ketika beraksi untuk Malaysia di Sukan SEA baru-baru ini.