Finalis Liga Juara-Juara Eropah musim lepas, Tottenham Hotspur terpaksa mengaktifkan talian hayat bagi menyelesaikan kemelut penjaga gol yang dihadapi.
Ini berikutan kecederaan yang dialami penjaga gol utama, Hugo Lloris ketika aksi menentang Brighton & Holve Albion dua minggu lepas. Ketiadaan Lloris sebagai tembok di gawang gol sedikit sebanyak memberi kesan kepada pasukan.
Penjaga gol kedua, Paulo Gazzaniaga menghadapi kesukaran kerana kekurangan pengalaman beraksi dalam aksi kompetitif. Jika Spurs terus keciciran mata, ianya sekaligus mampu memadam hasrat mereka untuk terus kekal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Bekas penjaga gol simpanan Spurs musim lalu, Michael Vorm yang dilepaskan pada musim jendela perpindahan pemain telah dipanggil semula bagi menggantikan tempat Lloris. Spurs telah menandatangani Vorm yang kini masih belum terikat bersama mana-mana pasukan.
Spurs akan bertemu pasukan yang berada di tangga tercorot liga, Watford pada sabtu ini. Pastinya tiga mata penuh menjadi sasaran utama skuad kendalian Mauricio Pochettino.
Pengalaman Vorm yang lebih luas berkemungkinan besar dapat membantu Spurs daripada terus mencatat kekalahan. Vorm pernah beraksi bersama Swansea City pada 2011 sebelum berhijrah ke Spurs tiga tahun kemudian. Pemain kelahiran Belanda ini juga telah membuat tujuh penampilan daripada semua kejohanan yang disertai bersama Spurs pada musim lepas.