Kehadiran pemain kebangsaan Jepun yang cukup terkenal di serata dunia, Keisuke Honda menyebabkan peminat Kemboja tidak melepaskan peluang untuk melihat beliau beraksi sebagai jurulatih untuk pasukan kebangsaan mereka.
Malah, disebabkan Honda jugalah, hampir 40,000 tiket perlawanan menentang Malaysia sudah terjual dan mereka berharap dapat melakukan kejutan pada malam ini.
Honda bagaimanapun memberi pesanan kepada peminat supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepadanya kerana bola sepak memerlukan kesabaran daripada semua pihak dalam usaha untuk memperoleh sebarang kejayaan.
“Saya mahu anda semua (penyokong) bertenang. Fokus utama adalah untuk memastikan pemain kita terus meningkat. Saya percaya kita memiliki pemain yang berpotensi,” katanya.
Walaupun baru enam hari melatih Kemboja selepas dilantik oleh Persekutuan Bolasepak Kemboja (FFC) bulan lalu, bintang Jepun itu yaking terhadap kebolehan pemainnya meskipun bimbang dengan aksi yang bakal dipamerkan oleh Malaysia.
“Kami sudah tidak sabar untuk bertemu Malaysia. Kami sudah menjalani latihan dalam beberapa hari dan saya percaya kami memiliki pemain yang bagus, berpengalaman dan muda.
“Memang bukan mudah untuk meraih kemenangan ke atas Malaysia tapi kami tidak gentar. Saya jangkakan perlawanan yang sukar tapi akan cuba yang terbaik,” katanya kepada Berita Harian.
Honda dikenali oleh peminat bola sepak di seluruh dunia disebabkan beliau sentiasa menunjukkan aksi terbaik setiap kali beraksi di Piala Dunia terutamanya apabila menjadi pemain Jepun pertama yang menjaringkan gol di tiga edisi Piala Dunia iaitu 2010, 2014 dan terbaru tahun ini di Rusia.
Kehadirannya di Kemboja seolah-olah mengembalikan minat bola sepak dalam kalangan penyokong tempatan di negara itu.