Malaysia Berita

Akhyar Rashid mahu berada dalam kesebelasan utama menentang Kemboja

Akhyar Rashid berharap jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama menentang Kemboja, malam ini.

Malah, beliau menggesa rakan sepasukannya supaya bangkit daripada kekalahan kepada Taiwan dan menjadikannya sebagai motivasi untuk menewaskan Kemboja.

Akhyar hanya masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menentang Taiwan dan hampir menjaringkan gol namun percubaannya sekadar terkena tiang.

“Saya berharap dapat beraksi dalam kesebelasan utama dan akan gunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Berita Harian.

Tambah Akhyar, selepas rakan sepasukannya bergelut untuk beraksi di atas padang basah menentang Taiwan, beliau menjangkakan perkara sama akan berlaku ketika berdepan Kemboja.

“Menentang Kemboja nanti kami akan bermain di padang rumput tiruan, memang agak berbeza. Padangnya agak licin, lantunan bola agak kuat. Selain itu getah kecil hitam yang banyak di dalam padang mudah masuk ke dalam kasut dan membuatkan rasa tak selesa.

“Apa pun kita harap aksi yang lebih baik selepas Taiwan. Kita akan cuba buktikan bahawa kita boleh memberi tekanan kepada pasukan lawan,” katanya.

Kemboja kini dikendalikan oleh pemain Jepun, Keisuke Honda dan luar biasanya, kedudukan ranking negara itu lebih tinggi daripada Malaysia iaitu di kedudukan 166 berbanding Malaysia di kedudukan 171.

Namun, mengikut rekod, kali terakhir Kemboja pernah menewaskan Malaysia adalah pada tahun 1970, ketika itu Kemboja dikenali sebagai Republik Khmer dengan kemenangan 2-0 dalam temasya Sukan Asia.