Malaysia Berita

Keisuke Honda tidak buatkan pemain Malaysia tertekan-Tan Cheng Hoe

Meskipun tewas kepada Taiwan 2-0 tempoh hari, Tan Cheng Hoe serta anak buahnya tetap yakin dapat meraih keputusan positif ketika menentang Kemboja, malam ini.

Malah, Kemboja yang dikendalikan oleh pemain bola sepak terkemuka dunia, Keisuke Honda tidak sedikit pun membuatkan pemain Malaysia gentar.

Cuma, kehadiran tiga pemain import Kemboja yang beraksi di Malaysia sejak awal tahun ini akan memberi kelebihan kepada pihak lawan dari segi corak permainan.

Mereka adalah pemain tengah, Thierry Chantha Bin yang mewakili Terengganu, bekas penyerang Negeri Sembilan, Prak Mony Udom dan bekas import PKNP FC, Keo Sokpheng.

Jelas Tan Cheng Hoe, kelebihan yang ada pada pihak lawan perlu diatasi dengan baik dan mengharapkan pemain tidak berasa tertekan sebaliknya mempamerkan aksi terbaik nanti.

“Kita tahu mereka ada tiga pemain yang masih dan pernah beraksi di Malaysia, sudah tentu sedikit sebanyak mereka tahu kekuatan pemain Malaysia. Mungkin dengan jurulatih baharu, Keisuke Honda, ia akan memberi impak terbaik.

“Saya harap pemain kita tidak tertekan untuk beri persembahan terbaik kerana kita masih lagi mencari kombinasi antara pemain,” katanya kepada Berita Harian.

Perlawanan persahabatan ini akan menjadi ujian buat Malaysia sama ada mereka mampu mengalahkan Kemboja dalam Piala AFF Suzuki 2018.

Tambah Cheng Hoe, kekalahan kepada Taiwan memberi sedikit kesan kepada moral pemain namun beliau tidak akan melakukan rombasan besar dalam kesebelasan utama.

“Selepas kalah dengan Taiwan, ia sedikit sebanyak mengganggu mental pemain dan saya harap mereka kembali bersedia. Saya mungkin akan membuat sedikit rombakan kerana ada pemain yang masih kepenatan kerana bermain dalam padang becak menentang Taiwan,” katanya.