Saban tahun, kita dapat melihat pasukan-pasukan liga baik Liga Super mahupun Liga Perdana lebih cenderung untuk menggunakan khidmat jurulatih asing berbanding jurulatih tempatan kerana jurulatih asing sering dianggap lebih arif mengenai bolasepak jika dibandingkan dengan jurulatih sedia ada di negara ini.
Namun, jika sesetengah pasukan itu mempunyai jurulatih asing tetapi masih tidak membuahkan hasil yang sepatutnya, mereka pasti akan dipecat dan pasukan itu akan kembali melantik jurulatih tempatan.
Tetapi satu lagi masalah yang lebih penting adalah bagaimana liga Malaysia sering mengambil jurulatih yang sama, muka-muka lama yang masih jadi taruhan utama.
Mereka enggan mengambil risiko terhadap jurulatih baharu yang dianggap kurang berpengalaman, masih belum matang dan kurang pengetahuan mengenai pengurusan pemain mahupun taktik untuk menang dalam bolasepak.
Namun, jika jurulatih muda tidak diberikan peluang untuk mengendali sesebuah pasukan, sampai bila kita harus bergantung kepada jurulatih seperti B. Sathianathan, Irfan Bakti, Dollah Salleh dan Azraai Khor?
Pasukan bola sepak tempatan ketika ini perlu berani merevolusi membangunkan bakat-bakat jurulatih muda supaya dapat melahirkan lebih ramai pemain bagus dan pada masa yang sama mengurangkan kebergantungan terhadap jurulatih import.
Jurulatih yang paling muda dalam Liga Super musim ini merupakan jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir yang berusia 36 tahun.
Katanya, beliau cukup memahami pandangan pihak pengurusan dan penyokong yang mahu melihat pasukan mereka mencapai kejuaraan, namun beliau menganggap jika pihak pengurusan mengambil jurulatih import sekalipun, kejayaan tidak akan datang dengan sekelip mata.
“Kepercayaan dan masa perlu diberikan kepada jurulatih muda tempatan untuk mereka membuktikan sesuatu.
“Pihak pengurusan tidak boleh mengharapkan kejayaan datang dalam tempoh yang singkat kerana ia perlukan masa untuk menyesuaikan diri dan membina persefahaman bersama para pemain dalam pasukan.
“Saya percaya jurulatih muda mempunyai bakat tersendiri yang belum ditonjolkan pada landasan yang sepatutnya,” katanya kepada Kosmo!
Mengulas lanjut, Nazliazmi menganggap kebanyakan kegagalan yang dihadapi pasukan sering kali ditujukan kepada jurulatih dan ia memberi kesan kepada pembangunan bola sepak sesebuah pasukan.
“Sesetengah pihak terlalu mempedulikan keputusan perlawanan dalam masa yang singkat sehingga terpaksa mendengar desakan penyokong mengambil jurulatih import.
“Situasi ini sebenarnya menjejaskan karier jurulatih tempatan kerana desakan tersebut boleh membuatkan khidmat pengendali muda terpinggir. Namun perkara ini adalah subjektif dalam bola sepak di negara kita.
“Bagi pihak pengurusan, jurulatih import adalah tarikan yang paling berkesan untuk menarik penyokong ke stadium dan merasakan kejayaan pasukan sudah terjamin,” katanya.
Nazliazmi memimpin Selangor dan menamatkan saingan liga di tempat kelapan dan mara ke pentas final Piala FA meskipun tewas kepada Pahang.