Siapa sangka Jerman yang membangunkan bola sepak dengan begitu teliti dan terperinci lebih 15 tahun yang lalu akhirnya tumbang jua di tangan pasukan Asia, Korea Selatan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.
Malah, mereka membariskan begitu ramai pemain terkemuka dunia, dari penjaga gol terbaik dunia, Manuel Neuer, pemenang Liga Juara-Juara Eropah, Toni Kroos hinggalah pemain muda berbakat seperti Joshua Kimmich, Leon Goretzka dan Timo Werner.
Namun, sebaik sahaja Son Heung-min menjaringkan gol kemenangan dengan gawang Jerman yang terbuka luas, penyokong Jerman terus hilang kata-kata.
Mereka kemudiannya menyanyikan lagu selamat tinggal kepada saingan Piala Dunia dengan menggunakan perkataan Raus yang bermaksud tersingkir dan Auf Wiedersehen yang bermaksud selamat tinggal bermula dari zon penyokong selepas keputusan muktamad 2-0 berpihak kepada Korea Selatan.
Selepas nyanyian “selamat tinggal” selesai, peminat Jerman terus meluahkan rasa hati mereka terhadap keputusan memalukan juara bertahan, Jerman yang tersingkir pada pusingan pertama Piala Dunia.
Malah, keputusan itu turut dianggap sebagai “sejarah memalukan” buat bola sepak Jerman.
“Mimpi ngeri Piala Dunia kami sudah menjadi kenyataan,” kata akhbar Bild.
Walaupun sebelum wisel penamat ditiupkan di Kazan Arena, sudah ada penyokong yang sudah mula meninggalkan bandar itu selepas kecewa dengan prestasi yang ditunjukkan pasukan Jerman.
“Ini bukan juara dunia, mereka tidak melawan,” kata Oliver Fischer, 27, yang memakai jersi Jerman.
“Kami benar-benar patut tersingkir, kami tidak melawan, tiada keberanian, tiada idea!”
Kebanyakan penyokong juga dilihat bersedih dan meletakkan tangan mereka di kepala sebagai tanda tidak percaya bahawa pasukan mereka sudah tersingkir daripada Piala Dunia. – AFP