Andrezinho memuji tindakan pantas Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan bekas pasukannya Kuantan FA supaya membayar keseluruhan gaji tertunggak kesemua 24 pemainnya dalam tempoh sebulan.
Katanya, ia adalah perkembangan positif yang amat dialu-alukannya selepas sebelum ini tidak dibayar sebarang gaji sejak awal musim bersama Kuantan FA.
Malah, beliau turut berterima kasih kepada pentadbir Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) yang turut membantunya ketika berada dalam situasi sukar.
“Keputusan ini baik untuk pemain, termasuk kelab.
“Selepas tiga bulan tidak mendapat gaji, saya rasa sudah cukuplah semua orang bersabar.
“Apapun, MFL banyak membantu kerana setidak-tidaknya mereka membantu menjelaskan separuh daripada gaji kami yang tertunggak.
“Fokus saya kini mahu segera kembali beraksi dan saya gembira kemelut ini semakin ke penghujungnya,” katanya kepada Astro Arena.
Tambahnya, meskipun melalui pengalaman pahit bersama Kuantan FA musim ini, pemain kelahiran Brazil itu sedikit pun tidak berdendam dengan pengurusan lama malah mahu terus beraksi di Malaysia.
“Saya tidak fikir akan berbuat demikian. Ada individu dalam pengurusan kelab ini yang bagus, namun disebabkan kekurangan pengalaman, bayaran kami tidak dapat dilunaskan tepat pada masanya,” katanya lagi.
Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) serta PDRM itu juga mengakui ada menerima tawaran daripada sebuah pasukan Liga Super dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat ini.