Bagi pasukan-pasukan dari negara Asia, misi mereka tahun ini pastinya lebih fokus kepada Sukan Asia terutamanya bagi negara yang tidak layak ke Piala Dunia dan Piala Asia pada tahun hadapan.
Antara negara yang dilihat benar-benar fokus dengan Sukan Asia ini selain daripada tuan rumah, Indonesia, adalah jiran Asia Tenggara kita, Thailand.
Skuad bawah 23 tahun Thailand di bawah kendalian Worrawoot Srimaka, akan mengadakan latihan pusat mereka di Indonesia bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di sana sebelum Sukan Asia 2018 bermula nanti.
Pasukan bawah 23 tahun Thailand yang memenangi pingat emas Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun lalu bukan sahaja akan menjalani latihan pusat di Indonesia, tetapi juga akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang pasukan bawah 23 tahun Indonesia yang dikendalikan Luis Milla.
Perlawanan tersebut telah dirancang berlangsung pada 31 Mei dan 3 Jun bertempat di salah satu gelanggang acara bolasepak Sukan Asia, Stadium Pakansari, Bogor. Worrawoot Srimaka dikhabarkan akan membawa 23 pemainnya ke Jakarta untuk perlawanan tersebut.
Bagaimana pula dengan persediaan skuad Malaysia? Adakah kita akan menunggu sehingga saat terakhir? Jika kita benar-benar mahu mencabar negara lain dalam saingan Sukan Asia ini, kita perlu melakukan persiapan awal dan rapi supaya kita mampu bersaing dengan negara-negara besar di Asia.