Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah pun berjanji kepada semua penyokong Kedah bahawa beliau akan melakukan perubahan kepada pengurusan bola sepak Kedah.
Pakatan Harapan yang kemudiannya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Malaysia juga mendapat majoriti mudah di beberapa negeri termasuklah Kedah yang membolehkan Mukhriz dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.
Katanya, meskipun beliau bersedia untuk menjadi Presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA), beliau akan menunggu keputusan daripada mesyuarat eksekutif badan induk bola sepak negeri itu dan jika mendapat restu penyokong skuad Helang Merah.
“Dalam soal jawatan itu, saya terbuka kepada apa sahaja cadangan dan kalau dirasakan bahawa sesuai untuk saya terajui KFA sekali lagi sebagai presiden, saya boleh terima pandangan itu.
“Tetapi saya nak tanya dahulu adakah ia perlu atau cukup sekadar saya bantu dari luar kerana sebelum ini kita mahu mengelakkan orang politik terlibat dalam bola sepak Kedah,” katanya kepada Berita Harian.
Katanya, dalam manifesto Pakatan Harapan bagi negeri Kedah, gabungan tersebut berjanji akan menilai pembabitan ahli politik dalam KFA.
Selain jawatan presiden, beliau mahu pengurusan KFA terdiri daripada golongan profesional.
Disebabkan itu, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat eksekutif KFA.
“Selain itu, kita juga akan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai perkara ini menerusi media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook,” katanya.