Sukan futsal yang sedang berkembang dengan pesat di seluruh dunia mulai menawan India dengan penuh bergaya dengan bermulanya kejohanan Premier Futsal India di Chennai minggu lepas.
Dari segi sukan, negara Asia Selatan ini lebih dikenali di mata dunia dengan kebolehan pasukan kriket dan hoki mereka. Malah, kejayaan India di dalam sukan lain seperti tenis (di mana India pernah memenangi Piala Davis) atau acara menembak di sukan olimpik dilihat lebih menyerlah berbanding prestasi pasukan bolasepak kebangsaannya.
Akan tetapi bolasepak sebenarnya merupakan sukan kedua paling popular di negara yang berada di tangga 168 FIFA World Rankings ini. Ramai juga mungkin ramai tidak tahu, bahawa India pernah dijemput untuk menyertai pertandingan Piala Dunia FIFA pada 1950 (setelah negara-negara dari Asia yang lain menarik diri), namun India langsung tidak menjejakkan kaki di bumi Brazil di atas sebab-sebab kewangan. India juga pernah memenangi pertandingan Sukan Asia sebanyak dua kali dan pernah menjadi naib johan kejohanan AFC Asian Cup pada tahun 1964.
Setelah liga semi-pro yang dikenali sebagai National Football League telah dimulakan di India pada tahun 1996, yang kemudiannya diganti dengan I-League pada 2007, kancah bolasepak negara yang mempunyai populasi seramai 1.2 billion orang ini (sekaligus menjadikan ia negara kedua dengan populasi terbanyak di dunia), telah menyaksikan kelahiran pasukan-pasukan seperti Mohun Bagan dan East Bengal FC (East Bengal FC pernah memenangi pertanding ASEAN Club Championships) dan juga pemain-pemain seperti Baichung Bhutia dan Sunil Chettri.
Melihat kejayaan liga kriket Indian Premier League, All India Football Federation (AIIF) bersama beberapa syarikat swasta telah memulakan sebuah liga profesional yang berlandaskan format yang sama untuk bolasepak yang dikenali sebagai Indian Super League pada tahun 2013. Liga ini mengambil konsep francais seperti sukan bola keranjang yang juga serupa dengan format Major League Soccer di Amerika Syarikat. Francais-francais atau setiap pasukan ini (yang bertempat di beberapa daerah atau bandar utama di India), akan dimiliki oleh pemilik terkenal seperti artis Bollywood atau pemain kriket. Setiap pasukan juga harus dianggotai oleh seorang pemain “marquee” atau pemain terkemuka. Antara pemain marquee yang telah bermain di Indian Super League adalah Del Piero, Pires, Trezeguet, Ljungberg dan beberapa pemain lain. Konsep ini telah berjaya menimbulkan minat kepada sukan bolasepak.
Berdasarkan kejayaan India Super League, minat ramai orang terhadap bolasepak dan setelah melihat kemampuan sukan futsal yang semakin popular di negara lain, Premier Futsal League telah dilancarkan pada tahun ini oleh beberapa ahli perniagaan di India. Pertandingan secara liga ini telah bermula pada 15 Julai 2016 dan akan berlangsung selama sembilan hari sehingga 24 Julai 2016 di bandar Chennai dan Goa.
Sebanyak enam francais atau pasukan telah ditubuhkan iaitu Kolkata, Chennai, Bengaluru, Goa, Kochi dan Mumbai. Setiap pasukan harus mempunyai tiga pemain antarabangsa, seorang pemain futsal kebangsaan India dan seorang pemain marquee. Untuk memenuhi kuota 12 orang bagi setiap pasukan, satu program mencari bakat secara besar-besaran telah dilancarkan di lapan bandar di India untuk mencari baki pemain lain.
Premier Futsal League telah berbelanja besar dengan menarik nama nama terkemuka untuk mempromosikan pertandingan ini dan menarik peminat. Luis Figo telah dilantik sebagai presiden liga manakala pemain kriket terkenal Virat Kohli telah dipilih sebagai duta. Komposer terkenal AR Rahman juga telah membuat lagu tema “Naam Hai Futsal” khusus untuk liga ini. Pemain-pemain marquee bagi setiap pasukan yang telah dipilih adalah Crespo (Kolkata), Falcao (Chennai), Scholes (Bengaluru), Ronaldinho (Goa), Salgado (Kochi) dan Giggs (Mumbai) Setiap pasukan pula ditambah dengan nama-nama besar dunia futsal di antaranya seperti pemain kebangsaan Itali Vampeta, Foglia dan Saad, Luis Amado dan Cidao (Sepanyol), Pula dan Cirilo (Russia), Rafael Henmi (Jepun), Angellot Caro (Colombia) dan juga pemain-pemain “freestyler” seperti Sean Garnier dan Adonias.
Hari pertama dan kedua Premier Futsal India telah menyaksikan beberapa aksi yang menggembirakan peminat termasuk 5 gol yang dijaringkan oleh Ronaldinho pada perlawanan pasukannya menentang Bengaluru. Sinonim dengan sukan futsal yang rancak, perlawanan lain juga tidak kering dengan gol dan aksi hebat yang ditunjukkan oleh pemain seperti Foglia, Caro dan Giggs, Crespo dan Henmi.
Namun seperti Indian Super League yang sebenarnya tidak diiktiraf oleh Asian Football Confederation (AFC), Premier Futsal India juga tidak lari dari kontroversi. Premier Futsal India telah memilih untuk berkerjasama dengan Futsal Association of India (FAI) yang bernaung dibawah World Futsal Association (AMF). AMF sebenarnya bergerak dengan berbeza dari FIFA dan mempunyai undang-undang futsal yang berlainan dengan FIFA (contohnya membaling bola atau “throw-in” dan bukan “kick-in”). Oleh kerana itu pertandingan ini tidak diiktiraf oleh AIFF dan FIFA.
Premier Futsal India juga baru mengumumkan hari ini bahawa Ronaldinho akan digantikan oleh bekas kapten bolasepak Brazil, Cafu selepas hanya dua perlawanan, setelah Ronaldinho menarikkan diri dan akan pulang ke Brazil.
Apa yang pasti, peminat yang membayar tiket sebanyak 1000 Rupees (RM59) untuk menonton perlawanan di stadium atau menontonya di TV akan berpuas hati dengan kebolehan atau skills futsal yang ditunjukkan oleh pemain-pemain. Futsal memang telah tiba dengan penuh bergaya di India.