Malaysia Liga Super Malaysia

Piya luahkan rasa kecewa terhadap KAFA dan Bibi Ramjani

Kapten pasukan Kelantan, Badhri Radzi atau Piya meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mahu melepaskannya tanpa memaklumkan kepadanya secara peribadi terlebih dahulu sebaliknya diketahui melalui media sosial.

Katanya, dia sudah lama bersabar daripada membuat sebarang kenyataan yang hanya akan mencetuskan konflik yang lebih serius namun tindak-tanduk KAFA kebelakangan ini menyebabkan dia tidak mampu berdiam diri lagi ketika ini.

“Saya benar-benar kecewa dengan layanan KAFA terutama kenyataan presiden melalui media yang menyatakan khidmat saya tidak diperlukan sedangkan saya tidak pernah diberitahu mengenai hal ini.

“Saya ada maruah, kalau benar mereka mahu menggugurkan saya daripada pasukan, apa salahnya mereka berbincang dengan saya elok-elok bukannya melayan saya sebegini.

“Kalau semasa meminta saya menyambung kontrak awal musim lalu mereka boleh berbincang, mengapa sekarang tidak?

“Saya minta kepada KAFA, kalau tidak mahu saya lagi, lepaskan secara profesional dengan syarat bayar gaji saya penuh hingga November ini,” katanya kepada Berita Harian.

Tambahnya, dia akan menolak jika KAFA mahu meminjamkannya kepada pasukan lain pada jendela perpindahan kedua bulan depan.

“Kalau mereka mahu buang saya, buang terus supaya senang saya mengatur karier saya.

“Saya masih pemain Kelantan dan tetap memberi komitmen 100 peratus dalam latihan walaupun mungkin tidak akan diturunkan lagi dalam perlawanan,” katanya.