Portugal mara ke final UEFA Nations League selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Jerman 2-1 dalam perlawanan separuh akhir di Allianz Arena.
Selepas terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Jerman mendahului menerusi jaringan Florian Wirtz pada minit ke-48.
Namun, keputusan jurulatih Portugal, Roberto Martinez membawa masuk pemain sayap berusia 22 tahun, Francisco Conceição membuahkan hasil apabila beliau menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63.
Gol itu menjadi pemangkin buat pasukan Portugal terutamanya Cristiano Ronaldo yang menjaringkan gol kedua pada minit ke-68.
Gol itu akhirnya menjadi gol kemenangan buat Portugal apabila kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Portugal akan bertemu sama ada Sepanyol atau Perancis dalam perlawanan akhir.