
CEO Pasukan Kebangsaan, Rob Friend nyata teruja dengan revolusi yang dibawa oleh Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dalam memperkasa skuad Harimau Malaya.
Beliau cukup berbesar hati apabila menjadi sebahagian daripada revolusi Harimau Malaya dalam struktur organisasi baharu pasukan kebangsaan.
“Ini merupakan satu peluang yang baik buat diri saya. Saya sangat teruja untuk menyertai revolusi skuad Harimau Malaya. Malaysia umpama sang gergasi yang sedang tidur.
“Saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemegang taruh terlibat seterusnya bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negara ini,” katanya.
Rob turut mengucapkan penghargaan kepada FAM dan Tunku Mahkota Ismail yang membuka peluang buatnya sambil melihat projek revolusi Harimau Malaya sebagai peluang yang unik buat dirinya untuk membangunkan bola sepak di Malaysia.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah visi FAM dan visi Tunku Mahkota Ismail. Oleh sebab itulah, saya berada di sini. Baginda merupakan orang yang paling berwawasan yang pernah saya temui.
“Ketika saya bertemu dengan Tunku Mahkota Ismail, baginda menjelaskan tentang projek revolusi skuad Harimau Malaya. Pada pendapat saya, ini merupakan projek paling mengujakan dalam industri bola sepak global. Saya turut melihat bahawa ini merupakan peluang yang unik untuk membangunkan bola sepak di Malaysia,” ujarnya.
Beliau juga akan memastikan struktur organisasi baharu itu dilengkapi dengan tenaga kerja berkualiti dan berpengalaman dari segenap aspek bagi memastikan proses membentuk pasukan kebangsaan yang ampuh berjalan lancar.