Malaysia Berita

Pusat latihan kebangsaan bakal dibina di Putrajaya

Majlis pecah tanah bagi pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sambil disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Terletak berhampiran dengan Taman Ekuestrian Putrajaya, NTC bakal dibina di atas tapak seluas 5.2 hektar (12.85 ekar) dengan Fasa 1 projek tersebut menggunakan dana daripada FIFA berjumlah AS$5.2 juta iaitu bersamaan kira-kira RM24 juta manakala Fasa 2 pula menggunakan peruntukan sejumlah RM45 juta daripada kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Projek NTC ini merupakan manifestasi cetusan ilham Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Presiden FAM dari tahun 1984 hingga 2014 yang telah lama berhasrat untuk mewujudkan satu hab bola sepak di Putrajaya yang merangkumi pusat pentadbiran dan juga latihan.

“Ketika Almarhum Tuanku menggalas tugas sebagai Presiden FAM, baginda berhasrat mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan AFC, AFF dan juga FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak di rantau Asia.

“Selain Almarhum Tuanku, seorang lagi individu atau watak penting dalam merealisasikan pembinaan projek NTC ini ialah Tan Sri Dr. Aseh Che Mat, individu yang paling lama berkhidmat di FAM yang mana beliau ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

“Tan Sri Aseh yang bertanggungjawab mendapatkan tapak projek NTC ini ketika beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Tanpa kedua-dua individu penting ini serta individu-individu lain yang turut sama membantu, pastinya agak sukar bagi FAM untuk menjadikan projek NTC ini satu kenyataan.

“Sebaik diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden FAM pada 14 Julai 2018, saya telah meletakkan agenda membangunkan projek NTC ini sebagai antara sasaran utama bagi memenuhi tuntutan dan evolusi bola sepak moden masa kini,” kata Hamidin.

Fasa 1 projek NTC ini yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan, RS Green Master (M) Sdn. Bhd. telah pun bermula pertengahan Jun 2024 merangkumi pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu padang rumput asli (jenis bermuda), padang rumput hybrid dan padang rumput tiruan (artificial) yang dilengkapi lampu limpah sepenuhnya serta sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi 6 meter di sekeliling kawasan padang.

Ia dijangka siap pada Disember 2026, seterusnya boleh mula diguna pakai oleh pasukan-pasukan kebangsaan dari peringkat senior sehingga bawah umur serta wanita untuk kem latihan pusat menjelang mana-mana kejohanan atau perlawanan antarabangsa.

Fasa 2 pula adalah peruntukan daripada KBS dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 dengan ia membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi yang merangkumi gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan (artificial) yang dibina pada Fasa 1.

Kedua-dua Fasa 1 dan 2 ini akan berjalan dalam waktu yang sama yang mana Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027, sekali gus melengkapkan semua infrastruktur yang terdapat di NTC.

Hamidin turut berharap dengan terbinanya NTC ini, ia secara tidak langsung menjadi simbolik kepada pembangunan infrastruktur FAM yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu, termasuk projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM, juga terletak di Presint 5, Putrajaya.

“Terima kasih sekali lagi kepada FIFA, terutama presidennya, Gianni Infantino atas sokongan penuh dan dana yang diberikan serta kepada Kerajaan Malaysia atas segala bantuan dan peruntukan yang diberikan kepada FAM.

“Saya berharap apabila siap dan terbina sepenuhnya NTC ini nanti, ia akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad B-23.

“Saya juga berharap apabila ibu pejabat baharu FAM yang turut dibina di Putrajaya ini siap, ia akan dapat membangunkan modal insan yang mahir dari segi pengurusan, teknikal, kepengadilan dan kejurulatihan.

“Insya-Allah dalam masa beberapa tahun lagi, kita dapat melihat mercu tanda baharu bola sepak Malaysia di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya,” kata Hamidin.