Malaysia Berita

TMJ puas hati rumput baharu padang SNBJ – Hannah Yeoh

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpuas hati dengan pemasangan rumput baharu di padang Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka 2023 esok.

Penanaman rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.

“Tunku Ismail kelihatan puas hati dengan status dan telah memberikan beberapa cadangan mengenai penyelenggaraan padang tersebut,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam sidang media hari ini.

“Kita berharap esok dapatkan maklum balas daripada Kim Pan-gon dan pasukan Harimau Malaya kerana mereka yang akan gunakan padang ini.

“Saya lihat ia hijau cantik, tetapi bagi pemain bola sepak mereka ada komen masing-masing. Jadi, saya rasa pasukan Harimau Malaya boleh komen. Setakat ini Tuanku puas hati.”

Beliau berkata demikian selepas TMJ merasmikan padang baharu di stadium berkenaan.

Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi antara empat buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia, selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.