Juan Torres Garrido diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad B-23 baharu bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.
Ia susulan peletakan jawatan E. Elavarasan untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.
Beliau akan dibantu oleh bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan yang dilantik sebagai penolong ketua jurulatih B-23.
“FAM yakin dan percaya, dengan latar belakang pengalaman yang dimiliki serta beliau telah setahun berada dalam sistem skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres mampu mengemudi skuad ini bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar nanti,” kata FAM dalam kenyataan.
Garrido sebelum ini merupakan penolong ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan bagi membantu E. Elavarasan sejak dari September 2022.
Beliau merupakan Ketua Pencari Bakat bagi Barcelona untuk kawasan Catalunya dari 2016 hingga 2020, sebelum menjadi Ketua Bola Sepak Remaja Profesional (B-23) bagi kelab Granada CF di Sepanyol dari 2021 hingga 2022.
Kredibiliti, karakter dan kebolehan Shukor juga diharap dapat membantu dalam memperkasakan lagi barisan pemain skuad B-23.
Shukor secara rasmi akan memegang jawatan tersebut selepas kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan Liga Super, Kuala Lumpur City berakhir musim ini.
Garrido dan Shukor akan dibantu Kris Yong Wai Hwang sebagai jurulatih penjaga gol; Oscar Balaguer Cabeza dari Sepanyol sebagai jurulatih kecergasan serta Lee Jeyoon dari Republik Korea sebagai jurulatih analisis prestasi.