Malaysia Berita

Malaysia kini nombor 134 dunia

Skuad negara naik dua anak tangga ke tangga ke-134 dalam ranking dunia terbaru yang dikeluarkan FIFA.

Skuad bimbingan jurulatih Kim Pan-gon mengumpul 1,094.90 mata berikutan keputusan seri menentang pasukan ke-93 dunia, Syria dan pasukan ke-80 dunia China dalam dua perlawanan persahabatan awal bulan ini.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan persahabatan tahun ini, menang empat dan seri dua perlawanan sejak Mac.

Skuad negara seterusnya akan bersaing dalam Pesta Bola Sepak Merdeka dari 13-17 Okt yang menampilkan India, Tajikistan dan Palestin.

Anak buah Pan-gon kemudiannya akan mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November sebelum beraksi di Piala Asia di Qatar pada Januari ini.

Juara dunia Argentina terus mendahului ranking dengan Perancis, Brazil, England dan Belgium melengkapkan lima teratas.