Malaysia Berita

Pestabola Merdeka 2023: Lebanon tarik diri, Tajikistan jadi pengganti

Tajikistan telah mengesahkan penyertaan mereka sebagai pasukan keempat bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 13 hingga 17 Oktober 2023.

Ini setelah FAM menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Lebanon menyatakan bahawa mereka terpaksa menarik diri daripada Pestabola Merdeka 2023 dengan alasan Lebanon dan Palestin telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini.

“FAM mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut yang telah ditetapkan untuk disertai oleh empat pasukan tidak terjejas,” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

”Sehari kemudian iaitu pada Selasa, 15 Ogos 2023, FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk pasukan kebangsaan Tajikistan yang kini berada di ranking ke-110 dunia menggantikan slot yang ditinggalkan oleh pasukan Lebanon.”

Biarpun dengan perubahan terbaharu ini, susunan jadual perlawanan berdasarkan ketetapan majlis undian sebelum ini akan dikekalkan iaitu Malaysia bertemu India manakala Palestin kini akan menentang Tajikistan.

Majlis undian Pestabola Merdeka 2023 berlangsung pada 8 Ogos lalu yang menyaksikan tuan rumah, Malaysia diundi bertemu India, manakala Palestin berdepan Tajikistan pada perlawanan pembukaan 13 Oktober ini.