Liga Super Malaysia Berita

Silap bagi 2 penalti, FAM gantung pengadil Sabah-Pulau Pinang

Jawatankuasa Pengadil FAM membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

Ini setelah Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM bersidang semalam bagi meneliti laporan daripada Penilai Pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.

Ia melibatkan perlawanan Liga Super 2023, Sabah FC lwn Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat, 17 Mac 2023.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM telah sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan Sabah melawan Pulau Pinang, Zulkarnain Zakaria telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

“Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.”

FAM berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang.