Al Rajhi Bank muncul sebagai penaja terbaru Liga Malaysia bagi musim 2023.
Institusi bank dari Arab Saudi itu telah menandatangani perjanjian penajaan dengan MFL untuk meletakkan bank digitalnya, Rize selaku Bank Digital Rasmi Liga Malaysia 2023.
Ini adalah kerjasama sulung Al Rajhi Bank Malaysia dalam penajaan liga bola sepak utama negara.
“Sebagai permulaan untuk semua peminat, kami ingin mengumumkan sama ada ‘Rizers’ baharu atau lama, mereka akan layak mendapat diskaun 10% daripada harga tiket jika bayar menggunakan kad debit Rize,” kata CEO Al Rajhi Bank Malaysia, Arsalaan (Oz) Ahmed.
“Pelanggan boleh memesan secara atas talian serta mengaktifkan aplikasi rize secara digital tanpa pergi ke mana-mana cawangan bank yang terdekat.”
Tawaran tiga bulan ini turut terbuka kepada pelanggan Al Rajhi Bank.
“Al Rajhi Bank Malaysia sangat gembira kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan MFL untuk menaikkan lagi keterujaan penyokong pada Liga Malaysia 2023 melalui Rize bank digital pertamanya, yang telah dilancarkan baru-baru ini,” jelas Oz.
“Tujuan utama Rize ini adalah untuk memberikan inspirasi dan membantu pelanggan kami dalam mencapai harapan dan impian mereka. Kami berharap dapat melakukan perkara sama bersama komuniti bola sepak Malaysia dengan mencipta pengalaman baharu bersama mereka di Liga Malaysia 2023.
“Al Rajhi Bank Malaysia dan MFL akan menjalinkan kerjasama secara lebih meluas memandangkan Rize merupakan bank digital terbaharu di Malaysia dan kami melihat kerjasama ini sebagai satu peluang untuk melonjakkan lagi imej kami bersama bola sepak Malaysia.
“Kami akan membentangkan perancangan kami dengan lebih mendalam dalam beberapa minggu akan datang. Banyak aktiviti menarik yang mampu dirangka pada perlawanan-perlawanan akan datang.
“Peminat bola sepak akan melalui satu pengalaman perbankan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini melalui sentuhan teknologi terbaik di dalam kelasnya. Segala keperluan perbankan akan tersedia di telefon pintar tanpa perlu pergi ke cawangan bank yang terdekat. ”
Liga Malaysia musim 2023 akan bermula pada 24 Februari ini melibatkan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri melibatkan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu.
“Ini bukan sekadar satu perjanjian penajaan,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.
“Tetapi perkongsian strategik yang mampu mengukuhkan matlamat bersama kedua-dua pihak.”
“Dengan Rize telah memulakan era baharu perbankan abad ke-21, MFL juga telah memulakan penstrukturan baharu Liga Malaysia untuk membawa bola sepak tanah air ke tahap lebih tinggi.
“Bersama Al Rajhi Bank Malaysia, ini akan membantu kami mencapai objektif tersebut.”