Johor Darul Ta’zim memulakan sesi pra-musim di Dubai, UAE dengan kekalahan apabila tewas kepada kelab Rusia, FC Rostov 2-0.
Ini meskipun juara empat piala musim lalu itu menurunkan kesebelasan terkuat yang terdiri daripada Bergson, Arif Aiman, Fernando Forestieri, Leandro Velazquez, Shahrul Saad, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong dan Farizal Marlias.
“Ini adalah perlawanan yang menguji kami sepenuhnya,” kata jurulatih JDT, Esteban Solari selepas perlawanan.
“Ia sesuatu yang telah kami jangkakan apabila bertemu pasukan yang kini di tangga ketiga Liga Russia.
“Sekarang kami kembali ke sesi-sesi latihan dan memperbetulkan kelemahan-kelemahan daripada perlawanan ini.”
Bagaimanapun, Solari menyifatkan terdapat sudut positif daripada kekalahan tersebut.
“Saya berpuas hati melihat transisi permainan yang baik, ‘ball possession’ yang mengalakkan dan menggerakkan bola secara satu pasukan.
“Hari ini adalah satu pengajaran yang baik apabila menentang pasukan yang berkualiti.”
Katanya, pengalaman beraksi di Dubai akan digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki pasukan sebelum Liga Malaysia bermula.
“Niat utama di sini adalah untuk belajar dan mencabar diri kami untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat supaya kami dapat memperbaiki pasukan dari apa yang kami ada sebelum ini.
“Perlawanan-perlawanan seterusnya juga lebih sukar dan kami perlu bekerja keras setiap hari sebelum bermulanya kempen 2023.”