Malaysia Berita

Tiada tiket tambahan Malaysia-Thailand dijual, Jay Chou sewa SNBJ sejak 4 tahun lalu

Sebanyak 59,000 tiket Malaysia melawan Thailand disediakan bagi perlawanan separuh akhir Piala AFF 2022 habis terjual.

Ini meskipun FAM, Perbadanan Stadium dan Kementerian Belia dan Sukan digesa supaya menunda konsert Jay Chou bagi membolehkan lebih ramai peminat hadir dengan tiket tambahan untuk perlawanan Sabtu ini.

Bagaimanapun, FAM memaklumkan pihaknya tidak akan menjual sebarang tiket tambahan.

“Tiada lagi sebarang penjualan tiket tambahan, sama ada secara dalam talian atau di kaunter tiket stadium,” menurut FAM.

Disebalik gesaan peminat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil menjelaskan mengapa venue konsert itu kekal di dalam stadium.

“Penyewaan stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala Piala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022.

“Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 kru dan 185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker dan 800 lampu. Mereka dah tunda 2.5 hari bagi ruang Piala AFF.”