Piala Malaysia Berita

Nafuzi tolak tawaran, Terengganu cari jurulatih baharu

Nafuzi Zain membuat keputusan untuk menolak tawaran kontrak baharu, sekaligus memaksa Terengganu mencari jurulatih baharu bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2023.

Ini selepas jurulatih berusia 44 tahun itu menimbulkan kontroversi apabila menyatakan beliau kecewa dengan kontrak yang ditawarkan serta menyifatkan pengurusan pasukannya tidak profesional.

“Kita menerima surat dan jawapan daripada ketua jurulatih, Nafuzi pada jam 4.47 petang semalam,” kata CEO Terengganu, Ab Rasid Jusoh kepada Harian Metro.

“Dalam surat itu beliau tidak bersetuju untuk menyambung tawaran yang kita tawarkan kepadanya pada musim depan.”

Katanya, Nafuzi akan terus mengendalikan pasukan Terengganu dalam separuh akhir Piala Malaysia menentang Selangor sehingga kontraknya berakhir 30 Nov ini.

“Kita akan mencari dan meneliti jurulatih yang bakal mengambil alih tugas berkenaan sekurang-kurangnya menyamai dan melebihi apa yang dicapai pada musim ini.

“Jadi sebelum liga bermula pada Februari tahun depan, kita akan umumkan jurulatih berkenaan bagi memastikan kesinambungan pasukan berada pada landasan terbaik dan pencapaian tidak lari jauh daripada apa yang dicapai sekarang.

“Lagipun selepas Nafuzi menolak tawaran itu, banyak permohonan daripada dalam dan luar untuk menjadi jurulatih, jadi kita akan teliti dan nilai permohonan berkenaan yang bersesuaian.

“Pada masa sama pihak pengurusan mengucapkan terima kasih kepada Nafuzi yang sudah menabur bakti selama tujuh tahun bermula dengan skuad Piala Presiden T-Team pada 2016 sebagai jurulatih sebelum menjadi penolong jurulatih skuad Terengganu dan seterusnya ketua jurulatih bermula akhir 2019 hingga musim ini.

“Jurulatih dan pemain pergi silih berganti itu asam garam dalam bola sepak, kami harapkan beliau terus berjaya menabur bakti di tempat baharu nanti.”