Liga Super Malaysia Berita

Presiden PJ City: Kalau 5 import pun kami bergelut, inikan pula musim depan

Pemilik pasukan PJ City iaitu QI Group membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim depan.

Malah, syarikat konglomerat terbesar Asia itu terbuka untuk proses pengambilalihan kelab.

“Melihat kepada situasi dan perubahan akan dibuat dalam saingan liga pada musim depan, saya rasa agak sukar untuk kami PJ City mengambil bahagian,” kata Presiden PJ City, Datuk Seri Subahan Kamal kepada Harian Metro.

“Bayangkan pada musim ini kalau lima import pun kami sudah bergelut, inikan pula untuk musim depan yang mana bilangannya akan bertambah.

“Jangan salah faham, kami hormat dengan keputusan dibuat badan pengelola liga sebelum ini, cuma kami tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan situasi itu.”

Sebab itu, PJ City terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berminat mengambil alih pasukan itu.

“Kita terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu untuk mengambil alih kelab ini. Kalau ada pihak berminat mereka boleh berhubungan dengan CEO kami bagi membincangkan perkara itu.

“Selepas itu akan bawa perkara itu ke pihak MFL bagi tindakan selanjutnya. Bagaimanapun ada beberapa syarat yang kami letakkan bagi mereka yang mahu mengambil alih kelab ini.”

PJ City dalam kenyataan rasminya mengalu-alukan pihak lain untuk mengambil alih ekuiti pegangan dan telah didekati oleh beberapa pihak yang berminat untuk mengambil alih pengurusan kelab dengan perbincangan masih diteruskan.

Membuat penampilan sulung dalam Liga Super pada 2019, PJ menjadi satu-satunya pasukan yang menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya pada 2021.

Hasilnya, bakat pemain seperti Darren Lok, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, V. Ruventhiran dan R. Kogileswaran berjaya diketengahkan sehingga mereka mewakili negara.

“Kami telah melabur sekitar RM 2.5 juta untuk menaik taraf stadium MBPJ, yang kini mempunyai padang baharu, trek larian sintetik dan bilik persalinan,” jelas Subahan.

“Kami berbangga dapat menyumbang kepada bandar Petaling Jaya yang telah menjadi rumah QI Group selama lebih daripada dua dekad.”

PJ City menduduki tangga ke-8 pada musim 2019 diikuti dengan tempat ke-7 pada 2020 dan 2021 dan menamatkan musim 2022 di tangga ke-9.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada FAM, MFL, penaja utama kami QNET dan penaja bersama lain, pengurusan stadium MBPJ dan peminat kami.

“Kami akan menghargai kenangan dan masa kami di PJ City FC.”

“Kami yakin PJ City dan pemainnya berada pada kedudukan yang baik untuk masa depan. Kami mendoakan kejayaan mereka pada masa hadapan,” kata Subahan.