Malaysia Berita

Malaysia lawan Kemboja, Maldives sebelum hadapi Piala AFF 2022

Skuad kebangsaan akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan sebelum menghadapi Piala AFF 2022 yang bermula pada 20 Disember.

Malaysia akan berdepan Kemboja pada Jumaat, 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil, diikuti dengan Maldives pada Rabu, 14 Disember di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.

Skuad negara kemudian akan beraksi dalam perlawanan pembukaan Piala AFF menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember sebelum beraksi di Bukit Jalil berdepan Laos (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari).

“FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas keprihatinan dan persetujuan daripada pihak beliau untuk membenarkan penggunaan Stadium Nasional sebagai ‘Home of Harimau Malaya’ bagi kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022,” kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dalam kenyataan.

“Kami sedia maklum mengenai keadaan padang di Stadium Nasional dan akan mengambil langkah bersama dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam usaha memastikan kualiti padang berada pada tahap memuaskan pada perlawanan-perlawanan yang telah dijadualkan itu nanti.

“Kepada penyokong Harimau Malaya, kami berharap agar aura Stadium Nasional yang ditampilkan ketika Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu akan dapat diteruskan lagi pada perlawanan-perlawanan yang akan datang ini.