Liga Super Malaysia Berita

MFL: Tiada lagi away goal rule dalam kejohanan kalah mati

Kelebihan jaringan di tempat lawan atau away goal rule dimansuhkan dalam kejohanan kalah mati berkuatkuasa serta-merta.

Ini bermakna pemansuhan peraturan tersebut akan berkuatkuasa dalam Piala Malaysia 2022 yang bakal membuka tirai pada 26 dan 27 Oktober ini.

Kata MFL, ini selaras dengan perubahan peraturan tersebut yang telah dilaksanakan oleh AFC dan UEFA.

“Berdasarkan Artikel 2.6.3(iv)(vi) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia di mana ia adalah peraturan semasa untuk menentukan kelab pemenang dalam pertandingan kalah mati merangkumi peraturan gol pihak lawan.

“Perubahan peraturan ini bermakna bahawa perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.

“Jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.”

Pada tahun lalu, UEFA telah membuat keputusan untuk memansuhkan peraturan away goal bermula musim 2021/2022.

Pada 1 Ogos lalu, AFC telah memaklumkan keputusan untuk memansuhkan peraturan tersebut bermula musim hadapan.