Berita

Kedah: Isu cukai LHDN fitnah, hanya satu muka surat didedahkan

CEO Kedah, Khamal Idris Ali menyifatkan dakwaan pasukannya mempunyai masalah dari segi pembayaran cukai LHDN sebagai fitnah.

Katanya, dakwaan di media sosial itu tidak memaparkan sepenuhnya kandungan surat itu sekali gus menjejaskan imej pasukan.

Ini selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaparkan satu salinan dokumen dengan kepala surat dari LHDN kepada Kedah bertarikh 24 Ogos 2022, berkenaan Potongan Cukai Berjadual (PCB) 2021 hingga 2022.

“Dokumen sulit yang diperolehi secara tidak sah ini, telah memberi gambaran buruk kepada kelab, seterusnya tanpa fakta menyeluruh berkenaan kandungan surat tersebut. Hanya satu muka surat dikongsi,” kata Khamal dalam kenyataan.

“Kedah sentiasa menjaga kebajikan pemain dan sentiasa bertanggungjawab atas semua tanggungan, termasuklah pembayaran gaji dan cukai pendapatan.”

Katanya lagi, surat dikongsi itu sepatutnya hanya perlu berada dalam milikan LHDN dan Kedah dan satu salinan kepada MFL.

Beliau juga kecewa dengan penyebaran dokumen sulit berkenaan tanpa kebenaran dan rumusan dibuat pemegang akaun itu telah memberi persepsi negatif kepada pengurusan kelab serta imej negeri Kedah.

Justeru, beliau akan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej pasukan serta satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah itu akan diserahkan dalam masa terdekat.