Jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak mengakui tidak menyangka pasukannya akan mara ke final Piala AFC 2022 setelah menewaskan Sogdiana Jizzakh semalam.
Ini kerana, beliau menganggap tahap bola sepak Uzbekistan jauh lebih tinggi, dengan pasukan kebangsaannya kini berada di tangga ke-77 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-148.
“Sebelum perlawanan, saya katakan bahawa kelab dan bola sepak Uzbekistan berada di tahap tinggi Asia berbanding Malaysia,” kata Bojan kepada Berita Harian.
“Saya jangka mereka akan dominasi permainan terutama apabila beraksi di tempat sendiri.
“Kami berjaya menyekat gerakan serangan mereka dan menunggu untuk melakukan serangan balas. Pemain melakukan tugas dengan baik sepanjang permainan.”
Beliau juga menganggap ia adalah kemenangan yang istimewa buat KL, kerana pasukan itu tidak pernah dianggap sebagai pencabar mana-mana kejohanan besar terutama Piala AFC.
“KL City pasukan kerdil dengan bajet yang kecil, tetapi pencapaian ini kejayaan luar biasa buat bola sepak Malaysia. Kami akan berjuang hingga penamat kerana itulah impian kami.”
KL akan bertemu kelab Oman, Al-Seeb di final yang akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Oktober ini.