Ketua jurulatih Jablonec, David Horejs gembira dengan prestasi yang ditonjolkan oleh Dion Cools dalam penampilan pertamanya malam tadi.
Ini setelah pemain pertahanan negara berusia 26 tahun itu beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol pertamanya serta membantu pasukannya menang 4-0 ke atas Motorlet dalam saingan pusingan kedua Piala Czech.
“Dia seorang pemain yang akan membawa kualiti kepada pasukan kami,” kata Horejs selepas perlawanan.
“Setakat ini dia bersama kami dalam satu sesi latihan dan berjaya membuktikan bahawa dia mempunyai kualiti.
“Saya percaya semakin lama dia bersama kami, dia akan lebih membiasakan diri dan membantu kami.”
Cools dijadualkan kembali ke tanah air minggu ini untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Raja Thailand di Chiang Mai, minggu depan.