Liga Super Malaysia Berita

Hector Bidoglio: JDT dalam prestasi terbaik, tidak perlu ubah corak permainan

Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio menyifatkan pasukannya dalam prestasi terbaik dan enggan mengganggu corak permainan Harimau Selatan ketika ini.

Ini meskipun jurulatih Venezuela berusia 54 tahun itu baru sahaja mengharungi perlawanan pertamanya dengan JDT selepas mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Benjamin Mora beberapa hari lalu.

Di sebalik pemergian Mora, JDT tampak tidak berdepan sebarang masalah apabila mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas juara bertahan Piala Malaysia, KL City, menyaksikan pendahulu Liga Super itu meraih kemenangan ke-11 dan mencatatkan 13 perlawanan tanpa sebarang kekalahan.

“Pasukan ini mempunyai pemain yang bagus,” kata Hector dalam sidang media.

“Mereka sudah bersedia untuk bersaing, jadi ia bagus apabila dapat mencipta corak permainan yang baik dengan mereka.

“Buat masa ini, saya tidak perlu melakukan begitu banyak kerja. Saya hanya memanfaatkan prestasi yang mereka ada pada masa ini. Mereka telah bermain dengan baik sejak sekian lama dan saya mahu mereka meneruskan momentum itu.

“Dalam perlawanan akan datang, saya akan bercakap dengan pemain dan melihat apa yang boleh dilakukan. Seperti yang saya katakan, mereka sudah bersedia dengan baik, mungkin saya akan membawa sentuhan permainan saya di sana sini.”

Pada masa sama, Hector turut memuji prestasi Nathaniel Shio Hong Wan selepas beliau membuat keputusan untuk menyenaraikan pemain berusia 21 tahun itu di bahagian tengah kesebelasan utama JDT.

“Saya pernah bermain di posisi itu semasa saya bermain dulu. Yang pasti, saya akan menyampaikan ilmu saya kepadanya. Hong akan belajar, tetapi dari apa yang saya lihat setakat ini, dia seorang yang bijak dan mampu membuat hantaran panjang dan pendek yang agak tajam.

“Dia akan bertambah baik kerana ada pemain terbaik di sekelilingnya. Hong berada pada usia di mana dia akan terus berkembang. Dia pasti akan bertambah baik.”

Bagaimanapun, Hector bakal berdepan cabaran lebih getir apabila JDT akan bertemu Pulau Pinang dalam perlawanan separuh akhir Piala FA, Jumaat ini.

“Kami berdepan setiap perlawanan dengan serius. Kami mahu menjadi protagonis dalam semua pertandingan. Kami mahukan kemenangan untuk ke final.

“Mereka sudah biasa dengan permainan sebegini, jadi ya, saya menjangkakan mereka akan berikan sepenuhnya untuk menang.”